Kerjasama sederap bukan tertiarap

BENAR kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan – jernihkan segala ‘masalah’ yang timbul dalam UMNO sekali gus memperkukuhkan parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Perkara (menoktahkan persoalan) ini penting bagi membolehkan kita (UMNO) benar-benar bersedia masuk ke fasa persiapan untuk menghadapi rakyat (PRU15),” katanya menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020).

Walaupun beberapa hari lalu Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan tidak pernah berbincang soal kerjasama dengan PKR, perwakilan pastinya ingin mendengar secara langsung berhubung isu ini.

“Tiada perbincangan langsung, secara rasmi atau tidak rasmi. Bukan dengan saya, bukan dengan Mat Hassan (Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan),” kata Ahmad Zahid dalam satu temu bual baru-baru ini.

Selama ini terlalu banyak ‘jurucakap’ sama ada di dalam UMNO atau di luar UMNO yang bercakap soal ini sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan kekeliruan.

Ketika ada penegasan menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU,  Mohamad Hasan muncul dengan kenyataan supaya semua ahli UMNO perlu bertindak bijak dan berfikiran panjang sebelum menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang sama ada buruk baiknya. Memanglah semangat dari bahagian-bahagian nak menolak kerana masing-masing cemburu hati sebab masing-masing dah nampak nak bertanding sebagai calon,” katanya.

Naib Presiden, Ismail Sabri Yaakob tetap konsisten dengan mengulangi ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti iaitu ‘No PKR, No DAP ’ serta kerjasama dengan Bersatu terputus apabila Parlimen dibubarkan.

Cukuplah UMNO di setiap peringkat tidak habis-habis asyik ‘menyanyikan’ lagu yang sama iaitu memperkatakan soal kerjasama dengan PKR dan Bersatu serta pada masa yang sama mahu memperkukuhkan muafakat dengan Pas.

Janganlah disebabkan isu ini, perpaduan dalam kalangan UMNO terburai menjelang PRU. Jangan kerana ‘kehadiran’ PKR dan Bersatu (mungkin juga Pas) wujud duri dalam daging, musuh dalam selimut, musang berbulu ayam atau gunting dalam lipatan. Jika ini berlaku, kehancuran UMNO disebabkan ‘diri sendiri’.

Di peringkat negeri, ada dalam kalangan UMNO yang sudah tidak senada lebih-lebih lagi soal kerusi. Adakah UMNO atau BN bersedia bergerak sendiri sedangkan realiti politik hari ini menampakkan perlunya kerjasama, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelbagai parti politik Melayu.

Tanpa kerjasama sukar untuk membentuk kerajaan. DAP yang begitu lama bersendirian akhirnya berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang selepas bersama PKR. Begitu juga di peringkat pusat.

Justeru, apa juga keputusan, apa juga formula, Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional masih memerlukan antara satu sama lain sekurang-kurangnya mengelak pertembungan sesama sendiri atau lebih tepat tiga penjuru yang boleh menguntungkan pihak lain.

Jangan kerana takhta dan kuasa, masing masing terlalu selesa dan yakin pengundi memilih mereka. Tindak tanduk mereka berpolitik sedang diperhati dan dinilai.

Sama ada UMNO, Pas atau Bersatu, pilihan yang ada bergerak sederap dengan menyelesaikan isu berbangkit khususnya soal kerusi. Sederap untuk kejayaan bersama bukan sederap sehingga tertiarap.

Pas tidak ada masalah dengan Bersatu kerana tidak ada wakil rakyatnya melompat berbanding UMNO.

Jika formula Mat Hassan dan Azmin diterima, isu kerusi bukan masalah besar. Formulanya, UMNO bertanding kerusinya, Pas kerusinya dan Bersatu kerusi yang dimenanginya (bukan atas nama PKR dan UMNO).

Kerusi yang sebelum ini dimenangi pihak lawan sama ada atas tiket PKR, DAP atau Amanah masih boleh dirunding. Begitulah formulanya jika semua pihak sedia berunding dan bertolak ansur. Jangan menang sorak kampung tergadai atau yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran.

Related posts

Leave a Comment