3,170 kes rentas negeri

PUTRAJAYA 21 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 3,170 kes rentas negeri (Import B) sejak 1 Januari 2021 sehingga 21 Mac 2021.

Kes rentas negeri (Import B) merujuk kepada kes-kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di sesebuah negeri namun dipercayai berpunca dari negeri lain akibat daripada aktiviti rentas negeri.

Tiga negeri yang menunjukkan atau melaporkan bilangan kes import B tertinggi adalah Kedah 714 kes (22.5 peratus), Perak 582 kes (18.4 peratus), dan Negeri Sembilan 370 kes (11.7 peratus).

Menurut kenyataan KKM, kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September 2020.

Kluster rentas negeri merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain, dan seterusnya mengakibatkan penularan jangkitan tempatan.

Berikutan peningkatan kluster-kluster rentas negeri ini, Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri bermula pada 13 Januari 2021.

Setelah larangan tersebut dilaksanakan selama beberapa bulan, pelaporan kes-kes baharu harian negara yang melibatkan kluster-kluster rentas negeri mula menunjukkan penurunan secara konsisten.

Kluster terakhir yang dilaporkan sebagai kluster rentas negeri adalah pada 30 Januari 2021 iaitu Kluster Tersat di Terengganu.

Tiga kluster yang masih aktif melaporkan kes iaitu Kluster Tembok Mempaga, Kluster Tembok Bukit Besi, dan Kluster Pasai.

Kes-kes dan kluster-kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada kawasan zon hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung halaman juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti golongan warga emas dan kanak-kanak.

KKM mengingatkan, walaupun negara sedang menunjukkan tren penurunan kes sejak beberapa minggu ini, rakyat perlu sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dalam semua keadaan bagi memastikan usaha-usaha yang telah dijalankan tidak menjadi sia-sia.

Ini termasuklah kepatuhan terhadap larangan merentas negeri kecuali jika ada perkara-perkara mustahak dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri adalah dibenarkan melalui Program Gelembung Pelancongan Domestik atau Travel Bubble yang membolehkan pelancong dari kawasan PKPP bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP yang lain.

Aktiviti tersebut tertakluk kepada SOP yang ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Related posts

Leave a Comment