12 kes baharu di Singapura

SINGAPURA 21 Mac – Dua belas kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, kesemuanya kes import dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Sepuluh daripada 12 kes yang dilaporkan hari ini tidak bergejala, manakala dua lagi menunjukkan simptom dijangkiti virus tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kes-kes tidak bergejala itu dikesan menerusi pemeriksaan dan pemantauan proaktif.

Kes import yang direkodkan hari ini adalah satu kes yang melibatkan rakyat Singapura yang pulang dari India, seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal, dua pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari India.

Turut dilaporkan kes  pemegang pas kerja dari Nepal, tiga kes pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Filipina yang kesemuanya pembantu rumah asing.

Empat kes lagi adalah pemegang pas khas yang merupakan anak kapal, yang tiba dari Indonesia menaiki kapal. Mereka menjalani ujian Covid-19 semasa berada di atas kapal dan tidak turun dari kapal mereka.

Sementara itu 16 lagi pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhannya, 60,038 pesakit sudah pulih sepenuhnya.

Setakat ini, 18 kes positif Covid-19 masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil.

Related posts

Leave a Comment