Vaksin lewat, EU kritik AstraZeneca

DI SEBALIK tindakan beberapa negara menggantung atau menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca, Kesatuan Eropah (EU) mengkritik pengeluar vaksin itu yang didakwa menjadi punca kelewatan kempen vaksin blok itu.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen memberi amaran bahawa EU akan mempertimbang untuk mengenakan larangan eksport ke atas syarikat berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan bagi memastikan AstraZeneca berjaya memenuhi komitmennya dengan EU terlebih dahulu.

“AstraZeneca malangnya tidak mengeluarkan dan menghantar vaksin yang cukup, ia memperlahankan kempen vaksin kami,” katanya.

Beliau berkata, pada suku pertama, AstraZeneca sepatutnya menghantar 90 juta dos vaksin tetapi mengurangkan kepada 40 juta dos.

“Kini mereka jangkakan AstraZeneca akan menghantar 30 juta dos pada hujung suku pertama,” katanya.

AstraZeneca sebelum ini berdepan dengan laporan berkaitan kesan sampingan vaksin keluarannya yang mana wujud dakwaan ia menyebabkan gumpalan darah kepada penerima vaksin.

Bagaimanapun sehingga kini tiada bukti saintifik mengaitkan masalah itu dengan AstraZeneca yang merupakan salah satu daripada vaksin yang digunakan di Eropah.

Related posts

Leave a Comment