78 kes, satu kematian di Thailand

BANGKOK 15 Mac  – Jumlah kematian akibat Covid-19 di Thailand meningkat kepada 87 orang apabila satu lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, jumlah kes jangkitan baharu pula adalah 78 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini 27,005.

Kes kematian terbaharu itu membabitkan lelaki warga tempatan berusia 88 tahun dari Pathum Thani.

Lelaki itu dipercayai dijangkiti virus Covid-19 selepas menerima kunjungan  ahli keluarga atau rakan yang pernah mengunjungi Pasar Pornphat, satu lagi kawasan panas terbaru di Thailand.

Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit kronik itu meninggal dunia pada Sabtu. Namun, ahli keluarganya yang lain negatif Covid-19.

Daripada 78 kes baharu itu, 74 melibatkan jangkitan tempatan selebihnya kes import dari Myanmar, Emiriyah Arab Bersatu , Poland dan Bahrain.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 24,074 kes babitkan penularan tempatan termasuk 15,024 kes melalui pengesanan kes aktif dan 2,931 kes import.

Bagi kes sembuh pula, sebanyak 80 lagi pesakit dilaporkan pulih menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,123.

Mengenai situasi di pasar Bang Khae yang mencetuskan kluster baharu, Dr. Apisamai berkata, pusat itu memberi perhatian utama terhadap pasar berkenaan walaupun keadaan terkawal.

Daripada kira-kira 1,000 ujian swab yang dilakukan di pasar itu, 107 orang dijangkiti.

Ujian besar-besaran juga tertumpu ke Wonder, salah satu daripada enam pasar di  kawasan pasar Bang Khae.

Sementara  itu, Apisamai berkata kerajaan tidak menghalang sektor swasta untuk mengimport vaksin Covid-19 tetapi mesti mendapatkan lesen mengimport dan perlu memohon kelulusan untuk penggunaan vaksin. 

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand  telah mewujudkan saluran khas mempermudah pendaftaran vaksin Covid-19, yang mengambil masa kira-kira 30 hari untuk penilaian dan kelulusan.

Related posts

Leave a Comment