Rasa kecewa terhadap Anwar

KUALA LUMPUR 14 Mac – Kumpulan 10 Ahli Parlimen yang lebih awal meninggalkan PKR mendakwa tindakan tiga lagi Ahli Parlimen keluar parti itu didorong rasa kecewa yang mendalam terhadap kepemimpinan Anwar Ibrahim yang membawa amalan politik pecah-belah, nepotisme dan kronisme hingga menjerumuskan parti ke jurang kehancuran.

Menurut kumpulan itu, biar pun pahit, hakikatnya adalah kepemimpinan Anwar  ditolak oleh sebahagian besar anggota partinya sendiri kerana PKR telah kehilangan idealisme dan tergelincir dari landasan perjuangan.

“ PKR, di bawah pimpinan dan kerangka sekarang, tidak lagi mampu memperjuangkan prinsip keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat. PKR telah tercabut dari prinsip dan tidak lagi berada  di landasan moral untuk memimpin,” kata kenyataan kumpulan itu termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali

Mereka menyifatkan tindakan tiga anggota Parlimen itu menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN)  merupakan langkah berani dan senada dengan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah Kerajaan yang berfungsi sepenuhnya dan stabil .

Dalam kenyataan itu juga mereka mengalu-alukan anjakan politik yang dinamik yang dilakukan oleh Larry Sng (Julau), Steven Choong (Tebrau) dan Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

“Ini merupakan perkembangan progresif yang terbit dari keyakinan mereka terhadap pengendalian Kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik Covid-19 dan langkah-langkah proaktif, tegas dan tepat untuk melaksanakan usaha mencerdaskan ekonomi dan memastikan pemulihan yang berterusan,” kata kenyataan itu.

Turut sama membuat kenyataan bersama itu adalah Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Mohd Rashid Hasnon, Kamarudin Jaffar, Dr. Mansor Othman, Dr. Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin .

Kumpulan itu turut membidas Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution, yang begitu keras memimpin serangan ganas terhadap ketiga-tiga anggota Parlimen itu, yang didakwa tidak memiliki kedudukan moral untuk menjuarai hujah berhubung melompat parti.

Beliau telah beberapa kali menjadi juara melompat dari UMNO ke PKR, kemudian dari PKR ke Pas dan seterusnya, dari Pas kembali ke PKR.

Berbanding dengan Dr. Xavier yang merupakan Naib Presiden PKR yang terpilih, kedudukan Saifuddin dalam parti adalah lemah kerana hanya sebagai seorang yang dilantik.

“Saifuddin tidak mempunyai legitimasi dan keabsahan dan kita fahami dia bersuara bagi pihak Anwar dalam situasi begini,” kata kenyataan itu.

Sekiranya Saifuddin jujur dan ikhlas tentang kedaulatan undang-undang dan perjuangan melawan rasuah, mengapa dia terus menerus diam membisu tentang kes rasuah yang melibatkan seorang tokoh ternama kepemimpinan PH yang tiba-tiba digugurkan tatkala perbicaraan sedang berjalan lancar?

Tuduhan bahawa PN menggunakan sogokan dan intimidasi untuk meraih sokongan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan adalah tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan-tuduhan ini merupakan serangan terhadap integriti SPRM dan polis. Kami memandang serius tuduhan menghasut secara terang-terang ini yang boleh menjejaskan kredibiliti institusi penguatkuasaan dan meminta tindakan undang-undang segera terhadap mereka,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu mengajak para  pemimpin dan anggota PKR merenungkan bukan hanya keputusan terbaru yang diambil oleh ketiga-tiga anggota Parlimen itu, tetapi isu yang lebih serius mengapa begitu ramai pemimpin tertinggi PKR dan anggota yang lama berkhidmat telah keluar parti.

“Ini sangat malang kerana kita tahu bahawa ada pemimpin dan anggota PKR yang berpegang teguh pada prinsip dan idealisme disisihkan dan bahkan menjadi mangsa kuasa di tangan presiden. Sepatutnya mereka perlu tabah dalam perjuangan untuk terus mencapai cita-cita murni, tetapi perakus dan pengkianat telah merampas agenda reformasi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka,” kata mereka.

Related posts

Leave a Comment