SPRM minta Natrah bantu siasatan

PUTRAJAYA 6 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta  Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail untuk membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan individu bergelar ‘Datuk Seri’ menyogok Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk lompat parti.

SPRM berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan berkenaan juga diminta tampil memberi aduan kepada badan itu, sekiranya perkara itu benar-benar dianggap rasuah.

“Aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, mengenai kewajiban melapor transaksi penyogokan. SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut,” kata SPRM melalui satu kenyataan.

Pada 4 Mac lalu, Natrah mendakwa terdapat dua individu termasuk salah seorang daripada mereka kononnya bergelar Datuk Seri, telah berjumpa dengan beliau pada 3 Mac dan bertanya sekiranya mahu menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Natrah berkata, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dalam menjayakan Agenda Reformasi yang menjadi asas dan pegangan parti itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti sebenar dua individu berkenaan dan hanya melaporkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan mendakwa terdapat penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Related posts

Leave a Comment