21 kes import di Singapura

SINGAPURA 3 Mac – Dua kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat dan 21 kes import dilaporkan di Singapura hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 59,979 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kes dalam masyarakat melibatkan seorang pesara berusia 82 tahun dan seorang lagi suri rumah yang juga Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 38 tahun.

Kes import pula, 20 daripada kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India, Nepal dan Nigeria sementara satu lagi kes import adalah seorang PR Singapura yang tiba dari Indonesia.

MoH menyatakan jumlah keseluruhan kes baharu dalam masyarakat meningkat dari dua pada minggu sebelumnya kepada empat kes pada minggu lalu manakala jumlah

kes dalam masyarakat tanpa hubung kait meningkat dari sifar pada minggu sebelumnya kepada empat kes pada minggu lalu.

Kementerian juga memaklumkan menegenai beberapa lokasi baharu ke dalam senarai tempat yang dikunjungi oleh kes-kes Covid-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

Lokasi-lokasi itu termasuk Mustafa Centre, Kuil Sri Vadapathira Kaliamman di Serangoon Road,  Murugan Idli Shop di Syed Alwi Road, Pasar raya Ang Mo dan GHK 407 Food House di Ang Mo Kio .

Tujuh lagi pesakit dilaporkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih sepenuhnya sebanyak 59,849 manakala 18 kes masih dirawat di hospital.

Related posts

Leave a Comment