Malaysia terima vaksin Sinovac China

SEPANG 27 Feb. – Vaksin Sinovac, dari China yang diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 8.47 pagi ini.

Vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech yang  diuruskan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd.adalah vaksin kedua diterima Malaysia selepas 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech  tiba Ahad lalu.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang itu membawa ‘envirotainer’ mengandungi vaksin dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter yang boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Ketibaan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH319 itu disambut beberapa menteri Kabinet dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Mereka ialah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob

Turut hadir, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Sebaik pintu kargo pesawat dibuka, envirotainer iaitu bekas khas yang mengandungi vaksin jenis Sinovac dan berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius itu dibawa turun menggunakan jumbo container pallet loader sebelum dipindahkan ke dolly dan dibawa ke kawasan i-Secure.

Ouyang kemudiannya menyerahkan satu kotak putih yang secara simboliknya mengandungi vaksin jenis Sinovac kepada Ismail Sabri.

Sejurus acara simbolik itu, envirotainer itu diperiksa pasukan pengendalian vaksin MASkargo untuk dipastikan bekas itu masih dalam suhu yang ditetapkan selain perlu memastikan tiada kerosakan berlaku kepada bekas seperti kemek dan bocor.

Selesai pemeriksaan, envirotainer itu dipindahkan ke lori trak syarikat Pharmaniaga dengan diiringi Polis Diraja Malaysia untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan.

Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter pada 19 Februari berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih dalam proses menilai data klinikal Sinovac.

Vaksin Sinovac telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.

Related posts

Leave a Comment