KJ jelaskan kenapa belum ambil vaksin

SEPANG 27 Feb. – Suntikan Sinovac atau Sputnik V, itu pilihan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, bergantung kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selepas ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata ia bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang diperoleh oleh negara adalah selamat dan diberikan tanpa membezakan kedudukan.

“Saya telah meneliti sejak beberapa hari lalu tentang pandangan dan pendapat rakyat. Saya lihat Perdana Menteri ( Muhyiddin Yassin), Ketua Pengarah Kesihatan ( Noor Hisham Abdullah), menteri-menteri besar serta frontliner telah menerima suntikan Pfizer (Pfizer-BioNTech) dan tidak ada kesan sampingan.

“Sekarang ini rakyat sudah bertanya, semua pemimpin sudah mengambil suntikan vaksin Pfizer kerana barang baik, yang lain semua untuk rakyat biasa. Jadi saya telah ambil keputusan semalam dan saya akan ambil apa sahaja vaksin yang akan diluluskan seterusnya.

“Kalau Sinovac, Sinovaclah, kalau dari Rusia, Rusialah, kalau dari AstraZeneca (Oxford-AstraZeneca), Astra Zenecalah,” katanya selepas menyambut ketibaan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319.

Bagaimanapun jelasnya, tindakan beliau tidak mengambil Pfizer-BioNTech bukan bermakna vaksin itu tidak bagus kerana ia telah terbukti selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan.

Negara yang dilaporkan telah meluluskan penggunaan vaksin Sinovac setakat ini termasuk Indonesia apabila Presidennya Joko Widodo menjadi rakyat pertama republik itu menerima suntikan vaksin berkenaan.

Related posts

Leave a Comment