12 lagi kes import di Singapura

SINGAPURA 27 Feb. – Sebanyak 12 kes baharu Covid-19  dilaporkan di Singapura sehingga tengah hari ini (Sabtu) yang membawa jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 59,925. 

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) sama seperti semalam, kesemua kes baharu itu merupakan kes import yang sudah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura.

Tiada kes dalam masyarakat atau dari asrama pekerja asing dilaporkan.

Dalam kalangan 12 kes import yang dilaporkan hari ini, dua merupakan warga Singapura yang pulang dari Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Dua kes melibatkan pemegang pas tanggungan yang tiba dari Brazil, India dan Belanda.

Lagi lima kes adalah pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Malaysia, di mana empat daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Hari ini juga 13 lagi kes Covid-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Hampir 60,000 kes sudah pulih sepenuhnya manakala 15 pesakit masih dirawat, di mana kesemuanya dalam keadaan stabil atau beransur pulih.

Seorang pesakit kritikal dan sedang dirawat dalam unit jagaan rapi.

Sementara itu MoH menyatakan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 64 tahun yang menetap di Indonesia sejak 17 Mac lalu meninggal dunia setelah mengalami komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Dia dipindahkan menerusi ambulans udara dari Indonesia 29 Januari lalu ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk mendapatkan rawatan.

Lelaki itu diuji positif bagi Covid-19 pada 26 Januari lalu ketika berada di Indonesia dan dimasukkan ke hospital pada keesokan hari.

Lelaki itu, yang meninggal dunia pada Jumaat (26 Feb), mempunyai sejarah menghidap hiperlipidemia.

Lelaki itu tidak termasuk dalam kiraan kes Covid-19 Singapura kerana dia “merupakan kes berdaftar dari luar negara”,

Justeru angka korban rasmi Singapura kekal sebanyak 29.

 

Related posts

Leave a Comment