Sekolah dikenakan PKPD

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 6 Februari sehingga 19 Februari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 2 Februari 2021, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 81 ujian saringan di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di sekolah berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di sekolah ini dan mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, PKPD turut diumumkan di Kampung Sebako 1 dan 2, Lundu, Sarawak bagi tempoh sama.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak bermula 11 Februari 2021 sehingga 16 Februari 2021.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 10 Februari 2021,” ujarnya.

Sehingga 3 Februari 2021, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan dan KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 2,021 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Related posts

Leave a Comment