Thailand catat 809 kes baharu

BANGKOK 4 Feb. – Thailand merekodkan 809 kes baharu Covid-19 dan sifar kematian menjadikan jumlah jangkitan dalam negara mencecah 22,058 kes dan 79 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), berkata, 796 adalah kes penularan tempatan termasuk 751 menerusi pengesanan aktif dan 45 orang yang mendapatkan rawatan di hospital serta 13 kes import.

Wilayah Samut Sakhon merekodkan 786 kes iaitu  750 dalam komuniti  (549 Myanmar dan 201 Thai) dan 36 (24 Myanmar dan 12 Thai) di hospital dan di Bangkok tiga kes di hospital melibatkan dua warga Thai dan seorang Myanmar.

Sebanyak 13 kes import yang dilaporkan melibatkan ketibaan dua dari Amerika Syarikat dan masing-masing satu dari Israel, Malaysia, Pakistan, United Kingdom, Emiriyah Arab Bersatu, Rusia, Ethiopia, Jerman, Belgium, Sepanyol dan Perancis.

Daripada  22,058 kes, sebanyak 14,798 (67%) dilaporkan sembuh termasuk 797 yang pulih hari ini manakala 7,181 sedang menerima rawatan.

Related posts

Leave a Comment