Sultan Selangor bimbang rasuah, fitnah

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi kebimbangan baginda mengenai peningkatan isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Tegas baginda, rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama  dalam masyarakat, dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara

Justeru baginda dalam satu kenyataan mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam.

Baginda juga berpandangan rasuah dan fitnah ini telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu.

Dalam pada itu, baginda memuji langkah akhbar Sinar Harian yang berani tampil dengan laporan pelbagai perspektif mengenai realiti sebenar isu rasuah di Malaysia melalui segmen Rasuah Busters.

Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah di negara ini melibatkan penjawat awam.

Oleh itu, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah.

Baginda turut berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.

Pada masa yang sama setiap rakyat perlu memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.

Suasana ketika ini, tegas baginda, diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.

Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.

Untuk itu, baginda menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.

Related posts

Leave a Comment