Saudi larang pelawat 20 negara

RIYADH 3 Feb. – Arab Saudi melarang kemasukan pelawat dari 20 buah negara mulai 9 malam Rabu waktu tempatan dalam usaha kerajaan mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, larangan melibatkan Mesir, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Turki, Britain, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Portugal, Sweden dan Switzerland, Amerika Syarikat (AS), Argentina, Brazil, Pakistan, India, Indonesia, Jepun dan Afrika Selatan.

Bagaimanapun, warga Arab Saudi termasuk diplomat dan kakitangan kesihatan dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara itu tetapi perlu mengikut langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19 yang ketat.

Pengumuman larangan itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah memberi amaran pada Ahad lalu bahawa satu sekatan perjalanan baharu mungkin dilaksanakan jika rakyat negara tersebut dan penduduk tidak mematuhi sekatan kesihatan bagi mencegah Covid-19.

Arab Saudi melaporkan lebih 368,000 kes pandemik itu dan hampir 6,400 kematian iaitu antara yang tertinggi di negara-negara Arab.

Pada awal Januari lalu, jangkitan harian Covid-19 berada di bawah 100 kes berbanding 5,000 kes jangkitan pada Jun tahun lalu.

Namun, jangkitan harian selepas Januari tahun ini meningkat tiga kali ganda apabila pada Selasa lalu, ia mencatatkan 310 kes seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan.

Related posts

Leave a Comment