4,214 kes baharu, 10 kematian

PUTRAJAYA 1 Feb. – Masih kekal empat angka tetapi bukan bermula dengan angka 5 seperti semalam (5,298) sebaliknya Malaysia merekodkan 4,214 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 219,713 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes import dilaporkan yang menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan kes tempatan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 48,074 kes.

Sebanyak 115 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (81 kes), Kluster Tembok Renggam (25 kes), Kluster Tembok Mempaga (7 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), dan Kluster Tembok Kemus (1 kes).

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham, berkata kes kematian baharu mencatatkan pertambahan sebanyak 10 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 770 kes.

Kes kematian hari ini melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka, dan Terengganu. Semua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara.

Setakat ini, sebanyak 316 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 137 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 4,280 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 170,329 kes.

Related posts

Leave a Comment