Presiden Singapura diberi suntikan

SINGAPURA 27 Jan. – Presiden Halimah Yacob yang diberikan suntikan vaksin Covid-19 petang ini menggesa rakyat Singapura dan penduduk yang menetap di sini untuk jangka panjang mendapatkan suntikan vaksin apabila giliran mereka tiba.

“Kadar vaksinasi yang tinggi akan memaksimumkan perlindungan bagi penduduk dan mengurangkan kadar orang yang boleh dijangkiti Covid-19,” kata presiden itu yang. menerima suntikan di Poliklinik Outram.

Katanya pemvaksinan akan mengurangkan risiko penularan virus secara meluas, bagi memastikan kes jangkitan dalam masyarakat kekal rendah dan membenarkan Singapura membuka semula ekonomi dan menyambung kegiatan sosial.

Halimah juga menekankan pendirian Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berhubung vaksin tersebut, bahawa vaksin itu dibenarkan untuk masyarakat Islam.

Bulan lalu, MUIS mengeluarkan kenyataan menasihati dan menggalakkan masyarakat Islam mendapatkan vaksin sebaik sahaja ia tersedia, sambil menambah bahawa matlamat memperkenalkan vaksin Covid-19 dan proses-proses yang terlibat dalam pengeluaran vaksin adalah “amat sejajar dengan prinsip dan nilai Islam”.

Halimah memberitahu, pihak berkuasa memperuntukkan vaksin untuk semua rakyat Singapura dan penduduk yang menetap di sini buat jangka panjang, agar dapat menerima suntikan vaksin menjelang akhir 2021.

Ini dapat dilakukan jika tiada gangguan di luar jangkaan menjejas penghantaran vaksin.

Semasa di poliklinik, Halimah turut memerhatikan pengagihan suntikan vaksin bagi golongan warga tua, sebagai sebahagian daripada projek perintis di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar, di mana terdapat ramai penduduk warga tua.

Related posts

Leave a Comment