Viran baharu lebih bahaya?

 

BRITAIN: Bukti awal menunjukkan varian baharu Covid-19 yang mula dikesan di Britain dan kini menjadi jenis virus yang paling menular di negara itu, mungkin lebih berbahaya, kata Perdana Menteri Boris Johnson.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan vaksin Covid-19 sekarang masih lagi berkesan.

Antara 1,000 lelaki 60 tahun ke atas di England yang diuji positif Covid-19, varian asal virus itu boleh membunuh 10 pesakitnya manakala varian baharu pula boleh membunuh 13 atau 14 orang.

“Saya ingin menekankan bahawa terdapat banyak ketidaktentuan berhubung perangkaan ini dan lebih banyak kajian perlu dilaksanakan bagi memahaminya.

“Bagaimanapun ia sudah tentunya membimbangkan kerana ia risiko kematian dan jangkitan lebih tinggi,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun kurang pasti terhadap kesimpulan yang dibuat itu. 

Johnson juga memberitahu lebih 5.8 juta penduduk di United Kingdom telah memerima suntikan vaksin di mana semalam sahaja, sebanyak 478,000 menerima dos pertama mereka.

Katanya setiap suntikan mendekatkan peluang menewaskan virus dan berharap mereka yang dipanggil untuk menerima vaksin dapat tampil berbuat demikian.

Sementara itu, Johnson dan  Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berikrar untuk mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama menangani perubahan iklim dan Covid-19 dalam perbualan pertama mereka sejak pelantikan Presiden AS itu.

“Johnson mengucapkan tahniah kepada Biden berikutan pelantikannya dan kedua-dua pemimpin berkenaan berharap dapat mengeratkan hubungan dua hala,” kata Downing Street dalam satu kenyataan.

Panggilan itu dibuat selepas perbualan Biden bersama Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dalam panggilan pertamanya kepada pemimpin asing, kelmarin.

Johnson menciap gambar dirinya dengan baju kemeja sambil ketawa ketika bercakap di telefon. “Senang bercakap dengan Presiden @JoeBiden petang ini,” ciapnya.

Johnson turut ‘menyambut baik’ keputusan Biden memasukkan kembali AS ke dalam perjanjian iklim Paris dan menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta menyertai inisiatif COVAX, kumpulan global dos vaksin COVID-19 bagi negara miskin.

Mereka juga bersetuju ‘cabaran besar dihadapi dunia ketika pandemik’.

Related posts

Leave a Comment