Olimpik: WHO hanya beri nasihat

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi nasihat teknikal kepada Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa berhubung penganjuran sukan itu, kata Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan.

Bagaimanapun, keputusan sama ada akan meneruskan Olimpik atau tidak adalah di luar komitmen pertubuhan itu.

Ryan berkata, WHO sebelum ini secara rutin memberikan nasihat kepada negara-negara untuk acara seperti Piala Dunia dan menunaikan haji di Arab Saudi, tetapi keputusan tetap terserah kepada kerajaan memerintah.

Menjawab soalan wartawan pada sidang media di Geneva, beliau berkata, WHO adalah pemerhati bebas IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan tidak menyumbang kepada proses membuat keputusan sama ada untuk meneruskan atau tidak Sukan Olimpik.

WHO katanya mendorong pendekatan pengurusan risiko untuk acara secara besar-besaran dan telah mengeluarkan panduan mengenai hal itu dan juga mengemas kini panduan tersebut.

“Berkenaan dengan Olimpik di Jepun itu sendiri, ada tuan rumah, ada kerajaan dan terutama kementerian kesihatan, buruh dan kesejahteraan.

“Kerana Olimpik tidak hanya diadakan di sebuah bandar raya, ia sering melibatkan orang yang datang dan masuk dari seluruh negara, melibatkan beberapa lapangan terbang, pelbagai entiti nasional,” tegasnya.

Jepun secara terbuka berkeras untuk meneruskan Olimpik yang tertangguh itu pada musim panas ini, walaupun ada tinjauan dilakukan yang menunjukkan 80 peratus rakyat Jepun mahu Olimpik dibatalkan, ditangguhkan atau tidak diadakan langsung.

Bagaimanpun, Ryan benar-benar yakin bahawa Jepun, yang sedang berjuang dengan peningkatan jangkitan Covid-19, dapat menurunkan kadar kes.

Related posts

Leave a Comment