“Saya presiden untuk semua”

WASHINGTON: Joe Biden dalam ucapan sulungnya setelah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 berjanji akan menjadi presiden kepada seluruh rakyat Amerika, termasuk mereka yang tidak menyokongnya.

“Saya berjanji kepada anda: Saya akan menjadi presiden untuk semua rakyat Amerika. Dan saya berjanji, akan turut berjuang untuk pihak yang tidak menyokong saya, sama seperti mereka yang menyokong saya,” kata Biden.

Beliau berterima kasih kepada pendahulu beliau dari kedua-dua parti, Demokrat dan Republikan, termasuk yang tidak dapat hadir ke majlis angkat sumpah beliau yang berlangsung di Washington DC.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pendahulu saya dari kedua-dua pihak kerana hadir di sini pada hari ini. Saya amat berterima kasih kepada mereka seikhlas hati saya.

“Dan, saya tahu kekuatan serta ketahanan yang ditonjolkan di bawah Perlembagaan kita, negara kita, begitu juga Presiden (Jimmy) Carter yang saya amati semalam, yang tidak dapat bersama kita pada hari ini, tetapi kita hormati atas khidmat (kepada negara) sepanjang hayatnya,” katanya lagi.

Beliau menyedari pentingnya untuk menghormati lafaz sumpah yang dianggap keramat kerana tradisi itu telah diturunkan oleh presiden-presiden Amerika Syarikat sebelum ini.

“Saya baru saja mengangkat sumpah suci. Sumpah ini pertama kali dilaksanakan di Washington.

“Tetapi kisah Amerika bukan hanya bergantung kepada kami (yang melafaz sumpah), bukan juga sebahagian dari kita, tetapi semua rakyat Amerika. Ini adalah negara yang hebat. Kita adalah orang yang baik,” tambah beliau.

Biden turut berikrar akan memerangi ekstremisme politik, keganasan serta menangani isu Covid-19 yang membelenggu rakyat.

“Kami memerlukan kekuatan anda semua untuk bertahan dalam masa sukar ini. Kita memasuki fasa di mana kita berhadapan dengan virus yang paling sukar dan bahaya,” ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Biden meminta orang ramai agar sentiasa bersatu padu dan mengamati peristiwa serangan di bangunan Capitol yang berlaku sebelum ini.

Antara lain, beliau turut memberi keyakinan untuk menewaskan isu-isu yang dekat dengan masyarakat AS seperti isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.

Related posts

Leave a Comment