Operasi restoran hingga 8 malam

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Operasi restoran dan kedai makan di negeri yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih kekal sehingga pukul 8 malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan masih belum mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi kedai sehingga 10 malam.

“Kita PKP ini dua minggu, dulu kita pernah tiga bulan. Jadi baru dua minggu patuhlah dengan apa yang disarankan oleh kerajaan.

“Macam saya kata tadi kalau kes menurun, kita tukar status PKP jadi PKP Bersyarat (PKPB), jadi ada kelonggaran yang akan diberikan.

“Jadi, kalau nak tempat kita bertukar kepada PKPB dan ada kelonggaran, kitalah yang boleh menjadi kawasan itu bertukar status dari PKP ke PKPB,” katanya dalam sidang media, di sini.

Sebelum ini ada permintaan persatuan pengusaha restoran supaya tempoh operasi dilanjutkan sehingga 10 malam bagi membolehkan orang ramai membeli makanan dan pada masa sama mengurangkan kesan terhadap pendapatan peniaga.

Sementara itu, beliau mengingatkan, aktiviti riadah di taman-taman awam di negeri yang dikenakan PKP tidak dibenarkan.

Kerajaan hanya membenarkan aktiviti riadah yang terhad kepada dua orang dari setiap rumah dijalankan di kawasan kejiranan sahaja.

Bagaimanapun terdapat laporan berlaku kesesakan di taman-taman awam di dalam kawasan PKP.

“Saya ingin menegaskan bahawa taman-taman awam adalah ditutup di dalam kawasan PKP dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti bersukan atau riadah di taman awam sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Beliau  berharap tidak ada sesiapa yang melakukan riadah dan sukan di taman awam kerana takut akan ada tindakan daripada pihak berkuasa.

Related posts

Leave a Comment