Silap perhitungan UMNO dihukum lagi

SIAPAKAH yang menjadi punca kemelut politik negara sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu? Parti pembangkang atau kerajaan? Nampaknya tidak ada kesudahan. Di mana silapnya pemimpin politik kita sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19?

Masing-masing masih bergelut dengan kuasa dan takhta sama ada yang sudah menjadi kerajaan atau pembangkang. Dua kali lima. Pi mai pi mai tang tu.

Jika begini situasinya, mungkin lebih baik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diberi mandat dapat meneruskan pentadbiran negara. Malangnya kerajaan PH juga terikat dengan janji kuasa dan takhta. Masing-masing mahu menjadi Perdana Menteri (PM). Ada pula ‘perjanjian’ berkaitan tempoh jawatan.

Akhirnya kerajaan PH runtuh. Parti komponennya berkecamuk apabila yang dihajati tidak tercapai. Bersatu walaupun mempunyai jumlah kerusi yang sedikit diberi peluang sebagai PM tetapi berpecah. Begitu juga pemimpin PKR yang mengisytiharkan keluar parti sehingga meruntuhkan kerajaan PH.

PH diganti PN (Perikatan Nasional). Sekali lagi Bersatu diberi peluang sebagai PM dengan jumlah kerusi yang kecil tetapi ditambah jumlah dengan ‘kerusi import’ dari UMNO dan PKR. Bersatu disokong oleh UMNO dan Pas yang sebelum itu membentuk Muafakat Nasional (MN) lebih awal.

Kini perikatan dan pemuafakatan mula goyah, semakin terungkai dan mungkin berpecah. UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu tetapi tetap bersama Pas melalui MN. UMNO bukan anggota PN tetapi Pas menganggotai PN.

Dalam situasi hari ini apakah pilihan Pas? Adakah bersama Bersatu atau PN ? Jika susah senang bersama, tentulah UMNO dijadikan pilihan tetapi jika sebaliknya, maka Bersatu jadi pilihan. Mungkin silap UMNO yang tidak bersama di dalam PN. Adalah lebih baik UMNO berada bersama di dalam PN bagi memainkan peranan dari dalam.

Bagi UMNO kehadiran orang ketiga (Bersatu) nampaknya tidak membawa pemuafakatan yang benar-benar sepakat malahan di dalam ‘rumah sendiri’ pun kecoh dengan pelbagai pandangan, tuduh menuduh antara satu sama lain. Nampak UMNO lebih kalut berbanding parti lain yang masih berusaha untuk menjadi PM.

Amat malang, jika situasi hari ini tidak dibendung, UMNO akhirnya akan dilihat sebagai punca masalah walaupun UMNO menyalahkan Bersatu yang menjadi punca rasa tidak puas hati kalangan anggota UMNO. Ada yang tersurat dan tersirat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati UMNO akibat ‘gangguan’ Bersatu.

Selepas gagal mengisytiharkan darurat, berjaya menghalang tiga pilihan raya kecil (PRK) tiba-tiba desakan untuk mengadakan PRU datang daripada UMNO. Apa yang rakyat lihat hari ini UMNO yang mendesak. Tidak salah PRU tetapi apakah parti politik bersedia mengikut norma baharu? Di Parlimen pun kecoh isu norma baharu.

Tanpa mengambil kira apa yang sebenarnya di sebalik desakan UMNO itu, isu sekarang adalah Covid-19 dan kesannya jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat. Pilihan Raya Negeri Sabah sewajarnya menyedarkan semua.

Untuk seketika, semua pihak perlu merelakan kerajaan sekarang meneruskan agenda negara bukannya agenda politik.

Berhentilah, redakan suhu politik. Apakah tidak ada jalan penyelesaiannya? Yang terlibat adalah parti politik Melayu. Melayani kehendak akar umbi itu penting tetapi yang akan mengundi nanti bukan akar umbi semata-mata. Yang di atas pagar, yang tidak berparti, yang simpati kepada UMNO juga ramai.

Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Jangan disebabkan marahkan nyamuk kelambu dibakar. Buang sikap tak dapat tanduk telinga dipulas.

Lihat sahaja keputusan PRU lalu. Berapa ramai pemimpin UMNO kecundang. Justeru jangan terlalu selesa dengan ‘kekuatan’ yang belum diuji. Silap perhitungan, UMNO akan dihukum lagi seperti PRU lalu. Ingat rakyat sedang memerhati. Jangan biar mereka meluat. Malahan yang dikatakan akar umbi juga mungkin berubah hati.

Dalam politik, tidak perlulah berselindung di sebalik kata-kata perjuangan dan keikhlasan kerana pemikiran orang politik lebih kurang sama. Politik tetap politik.

Related posts

Leave a Comment