316 kes baharu di Sabah

KOTA KINABALU 3 Jan. – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah merekodkan 316 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 37,869 kes dengan dua kematian direkodkan iaitu masing-masing  di daerah Penampang dan Lahad Datu.

Pada hari ini, 229 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatif 35,383 orang manakala 1,752 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,109orang di PKRC.

Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 55 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Sementara itu daerah Pitas dan Kota Marudu bertukar dari zon kuning ke zon jingga, manakala Kudat berubah dari zon jingga ke zon merah.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Lintas Seraya mencatatkan sebanyak tiga kes menjadikan jumlah kumulatif 15 kes.

Kluster ini melibatkan dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Penampang. Kes indeks dikenal pasti melalui saringan bergejala dan melalui siasatan mendapati kluster ini berpunca dari majlis sosial (makan malam Krismas) di sebuah restoran di Lintas.

Daripada 316 kes positif Covid-19 yang direkodkan, sebanyak 239 kes (75.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 40 kes (12.7%), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 7 kes (2.2%), saringan komuniti 4 kes (1.3%) dan 26 kes (8.2%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital Covid-19 adalah sebanyak 948 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,445 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,393 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini 27.40%.

Related posts

Leave a Comment