Maklumat palsu 2016 tular lagi

ULANG siar atau ulang tayang. Itu penjelasan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi menafikan dakwaan cuaca musim sejuk seperti kota London bakal melanda Malaysia pada Februari nanti.

MET Malaysia dalam kenyataan hari ini, 5 Januari memaklumkan, dakwaan yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp itu adalah maklumat palsu yang pernah tersebar pada 2016 dan kini diulang siar.

MET Malaysia turut menjelaskan keadaan cuaca sejuk yang dialami di kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya Pantai Timur dan Pantai Barat ketika ini, disebabkan keadaan cuaca lembap dan mendung yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akibat luruan angin sejuk yang melanda negara.

“Selain itu, keadaan rantau negara yang berawan dan tiada sinaran matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari yang lalu, turut menyumbang kepada berlakunya keadaan cuaca yang lebih sejuk daripada biasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 3 Januari lalu, suhu harian minimum terendah yang direkodkan di Terengganu, Pahang dan Johor adalah 21 hingga 22°C dan keadaan itu adalah biasa apabila hujan serta mendung berlaku sepanjang hari.

MET berharap orang ramai mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca, melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MET Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.  

Related posts

Leave a Comment