Tiada kompromi, lompat parti ‘melukakan’ UMNO

TIDAK ada apa yang dapat disembunyikan lagi isu hubungan politik UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di seluruh negara menjawab segala persoalan selama ini. Jawapannya sudah dijangka atau diramalkan. UMNO tidak ada pilihan lain.

Dua keputusan ‘penting’ yang menggambarkan suara akar umbi adalah pertama, UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dan kedua, UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan bertanding di ‘semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya’.

Maknanya kerjasama di peringkat kerajaan masih ada tetapi di peringkat politik sudah tertutup. Walaupun ada seorang dua dari UMNO yang agak berlembut berhadapan isu ini, hakikatnya suara akar umbi di bawah adalah ‘menolak’ Bersatu.

Ketika ini, yang nampak bertolak ansur sedikit adalah di Sabah apabila BN negeri sedia mengurangkan kerusi yang ditandingi sedangkan di lain-lain negeri situasinya senada malahan ada yang mahu kepemimpinan UMNO bertindak tegas terhadap ‘suara sumbang’ pemimpin tertentu yang seolah-olah condong kepada Bersatu.

Implikasi pendirian UMNO itu sudah tentu akan dirasai ahli Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menang atas tiket UMNO.

Hakikatnya selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, akar umbi UMNO terluka dengan tindakan ahli Parlimen UMNO yang melompat parti atas apa alasan sekali pun. Jika orang di luar UMNO boleh menganggap mereka sebagai pengkhianat kerana melompat parti, inikan pula anggota parti itu sendiri. Tiada maaf bagi mereka.

Tidak ada kompromi dalam isu ini. Mana-mana parti politik akan bertindak sama seperti UMNO kecuali ada ketua bahagian atau pengerusi negeri yang sedia berkorban. Isunya ketua berkorban, akar umbi bagaimana?

Pada masa yang sama tindak-tanduk pemimpin Bersatu sama ada tindakan dan kenyataan juga ada yang ‘melukakan’ UMNO dan anggota parti. Tetapi melompat parti sudah tentu lebih mengecewakan akar umbi UMNO yang sebelum itu bekerja keras untuk kemenangan mereka.

Justeru ahli-ahli Parlimen UMNO yang berhijrah atau melompat perlu bersedia menerima hakikat sama ada mencari kawasan baharu atau bertembung dengan calon UMNO pada PRU akan datang. Jika dulu mereka menang atas kekuatan UMNO, mungkin mereka boleh mencuba atas kekuatan atau pengaruh sendiri.

Menarik untuk dilihat adalah kedudukan Mustapa Mohamed (Jeli), Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Syed Abu Hussin Hafizeta Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Di Sabah pula Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Zakaria Edris (Libaran) dan Rahim Bakri (Kudat).

Mungkin mereka boleh mengintai kerusi yang dimenangi PKR atau DAP serta ‘mempertahankan’ kerusi Bersatu yang kini berpindah kepada Pejuang dan Bebas. Kerusi Amanah pula sudah tentu akan melibatkan pertembungan dengan sama ada calon UMNO atau Pas.

Lebih menyulitkan apabila kerusi yang pernah ditandingi UMNO dan menang tetapi tewas kepada Bersatu pada PRU lalu juga menjadi idaman BN. Begitu juga kerusi bekas Ahli Parlimen PKR yang kini bersama Bersatu. Adakah parti yang kalah sebelum ini (UMNO) juga mahu bertanding di kawasan sama?

Contohnya Gombak dan Ampang. Setakat ini hanya Pagoh yang diwakili Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendapat ‘lampu hijau’ untuk terus kekal di situ. Itu pun setakat minggu ini. Tidak pasti perkembangan seterusnya.

Apa pun jika ‘lampu hijau’ itu pasti, masih ada ruang kerjasama UMNO dan Bersatu. Sekiranya benar UMNO tetap mahu mengekalkan kerusi yang dimenangi, ruang untuk Bersatu bertanding masih ada sekurang-kurangnya di kawasan yang dimenangi mereka pada PRU lalu.

Jika mengikut perkiraan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, parti itu menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang termasuk mengekalkan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU yang lalu.

Menurut beliau, secara dasarnya parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan keputusan berkenaan dalam memastikan kemenangan parti itu untuk menubuhkan kerajaan dan bukan hanya ‘menang’ kerusi untuk bermegah-megah.

Apa pun, UMNO tidak boleh tamak merebut kerusi. UMNO tidak boleh melupakan Pas. Begitu juga dengan Pas tidak boleh melupakan UMNO. Apakah formula yang akan dipakai oleh UMNO dan Pas? Siapa yang sanggup berkorban untuk Bersatu?

Jika formula UMNO mengekalkan kerusi yang dimenangi, pastinya akan timbul isu di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pas seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pas mungkin juga mempunyai pendirian yang sama seperti UMNO iaitu mengekalkan kerusi dimenangi pada PRU lalu.

Apakah isu kerusi PRU akan meretakkan hubungan atau membawa kepada perpecahan dan perbalahan menjelang PRU? Jika ini berlaku Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya membuka ruang atau laluan kepada PH untuk kembali ke Putrajaya.

Mahu atau tidak MN dan PN khususnya melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu perlu bersama dengan formula yang dapat diterima khususnya oleh akar umbi. Akar umbi yang akan bekerja untuk kemenangan. Apa yang perku, MN dan PN tidak boleh membuka laluan mudah kepada ‘musuh’ untuk ke Putrajaya.

Related posts

Leave a Comment