Arab Saudi catat 82 kes positif

RIYADH 3 Jan. – Kes jangkitan Covid-19 di Arab Saudi terus menunjukkan penurunan apabila merekodkan di bawah 100 iaitu 82 kes seperti dilaporkan hari ini menjadikan 363,061 kes.

Kementerian Kesihatan juga merekodkan tujuh kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 6,246 kematian sementara kes aktif pula 2,372, di mana 358 kritikal.

Sebanyak 180 kes dilaporkan pulih dan ini membawa kepada 354,443 pesakit sembuh atau 97.57 peratus daripada jumlah kes.

Riyadh merekodkan kes baharu paling tinggi dengan 35 kes diikuti Makkah 24 dan wilayah Timur tujuh kes.

Sementara itu Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula sempadan dan menyambung semula penerbangan antarabangsa setelah menggantungnya selama dua minggu bagi membendung penularan jenis baru Covid-19.

Kerajaan itu memerintahkan agar “tindakan pencegahan yang berkaitan dengan penularan jenis baru virus korona” ditarik balik.

Negara-negara Teluk lain, Oman dan Kuwait, yang mengambil tindakan serupa, juga menarik balik langkah tersebut dalam beberapa hari lalu.

Bagaimanapun pengembara yang pulang dari Britain, Afrika Selatan atau “negara mana pun di mana jenis baru virus korona menular” dikenakan lebih banyak sekatan,

Warga asing yang datang dari negara-negara tersebut mesti menghabiskan 14 hari di negara lain sebelum memasuki Arab Saudi, dan menunjukkan ujian negatif.

Rakyat Arab Saudi yang pulang dari negara-negara tersebut akan dapat masuk secara langsung tetapi kemudian harus menjalani kuarantin dua minggu setibanya mereka di sana dan perlu menjalani ujian.

Bulan lalu Arab Saudi adalah salah sebuah negara Teluk pertama yang melancarkan program vaksinasi secara besar-besaran menggunakan Pfizer-BioNTech.

Related posts

Leave a Comment