Singapura kesan ‘virus dari UK’

SINGAPURA 24 Dis. – Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan kes pertama Covid-19 yang dijangkiti dengan sejenis virus yang dilaporkan lebih mudah berjangkit dan sedang menular di United Kingdom.

Dalam satu kenyataan malam tadi, MOH memaklumkan, kes berkenaan yang dikenali sebagai Kes 58504 merupakan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang menuntut di UK sejak Ogos lalu.

Remaja itu pulang ke Singapura pada 6 Disember di mana dia menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di sebuah kemudahan khas sejurus selepas dia tiba di sini.

Remaja berkenaan jatuh sakit pada 7 Disember dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada 8 Disember. Semua kenalan rapat remaja itu juga dikuarantin dan mereka diuji negatif Covid-19.

Menurut MOH, memandangkan remaja itu telah diasingkan sejurus selepas dia tiba di Singapura, pihak Kementerian berupaya mengawal kes ini bagi memastikan tiada penularan lanjut.

“Ketika ini tiada bukti yang menunjukkan jenis B117 sedang menular dalam masyarakat”, kata MOH.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan baru-baru ini yang menyatakan bahawa B117, sejenis virus Co-19 yang berpotensi lebih mudah berjangkit, sedang menular di United Kingdom, Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang menjalankan penjujukan genom bagi kes-kes disahkan positif Covid-19 yang tiba dari Eropah baru-baru ini.

MOH juga menjelaskan secara keseluruhannya, 31 kes import dari Eropah yang tiba di Singapura antara 17 November dengan 17 Disember disahkan dijangkiti Covid-19 pada bulan Disember.

Kes 58504 adalah dalam kalangan kes-kes tersebut dan Singapura setakat ini merekodkan 58,482 kes.

Related posts

Leave a Comment