46 kes baharu di Thailand

BANGKOK 23 Dis. – Thailand merekodkan 46 kes baharu dalam tempoh 24 jam dengan 39 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA), Dr Taweesin Visanuyothin memaklumkan, 39 kes tempatan itu melibatkan beberapa daerah termasuk Bangkok, Chachoengsao, Ayutthaya, Krabi serta Phuket.

Dengan perkembangan itu, kes positif di Thailand meningkat kepada 5,762 dengan 60 kematian, di mana 1,607 masih dirawat di hospital dan 4,095 kes dilaporkan pulih.

Dr Taweesin memberitahu, kerajaan akan menjaga kebajikan pekerja asing yang disifatkan banyak membantu dalam sektor ekonomi Thailand.

Beliau berkata, CCSA akan mengadakan mesyuarat pada Khamis untuk mempertimbangkan langkah-langkah mengawal pekerja asing dan menerapkan undang-undang sehingga golongan tersebut memiliki akses yang lebih baik untuk penjagaan kesihatan dan kebajikan.

“Saya mahu semua orang melihat mereka ini (pekerja Myanmar) sebagai keluarga.

“Mereka banyak membantu kita dalam memacu ekonomi negara untuk tempoh yang lama. Jadi, apabila ahli keluarga kita sakit, kita akan jaga mereka.

“Jangan teragak-agak untuk membantu dengan menderma atau menyediakan keperluan kerana mereka dalam keadaan sukar,” ujarnya semasa sidang media.

Beliau pada masa sama menasihati semua pihak supaya sentiasa memakai pelitup muka, jaga kebersihan dan amalkan penjarakan sosial.

Related posts

Leave a Comment