1,340 kes baharu, 4 kematian

PUTRAJAYA 20 Dis. – Sebanyak 1,340 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan 93,309 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 15,563 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hanya tiga kes merupakan kes import, sementara 1,337 kes adalah penularan dalam negara.

Daripada jumlah kes baharu Ini, sebanyak 134 kes atau 10 peratus melibatkan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan di Selangor 58 kes, Kluster Tembok Gajah, Johor (56 kes), Kluster Tembok, Kedah (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang (lapan kes) dan Kluster Penjara Kepayan, Sabah (dua kes).

Sementara itu, terdapat empat kematian baharu akibat Covid-19 melibatkan tiga warganegara dan satu warga asing dilapor, menjadikan jumlah maut kini 437 kes.

Beliau berkata kematian ke-434 (kes 63,582) adalah lelaki tempatan berumur 63 tahun di Hospital Sungai Buloh, Selangor dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok dan obesiti, sementara kematian ke-435 (kes 70,071) juga lelaki tempatan berusia 67 tahun di Hospital Pulau Pinang dengan penyakit darah tinggi.

Di Sabah, kematian ke-436 (kes 72,925) melibatkan lelaki tempatan berumur 78 tahun di Hospital Tawau dengan penyakit darah tinggi dan jantung, sementara kematian ke-437 (kes 91,013) lelaki warga asing berusia 77 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Sebanyak 1,067 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 77,309 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 116 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment