PN tubuh Majlis Presiden

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Perikatan Nasional (PN) bersetuju menubuhkan satu Majlis Presiden yang dianggotai oleh semua presiden parti dalam kerajaan PN, kata

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi di Facebook rasminya malam tadi.

“Malam ini, telah berlangsung majlis perjumpaan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional yang telah dihadiri oleh pemimpin daripada semua parti.

“Saya berasa amat gembira dapat bersua muka dan berbincang dengan rakan-rakan Presiden dan wakil-wakil parti mengenai pengukuhan kerjasama politik antara kami untuk memastikan kestabilan politik negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Kami telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh semua Presiden parti-parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional sebagai wadah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti,” kata beliau yang juga Pengerusi PN.

Menurut Muhyiddin, beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN turut dibincangkan dan dipersetujui.

Selain itu, penggubalan piagam antara parti juga akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing serta persiapan untuk pilihan raya akan datang.

“Majlis Presiden akan bertemu lebih kerap dengan pertemuan pertama pada awal tahun hadapan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan Covid-19 dan penyediaan RMK-12,” katanya lagi.

Ketua-ketua parti yang hadir pada mesyuarat tersebut ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian.

Turut hadir ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Maximus Johnity Ongkili; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Joseph Salang Gandum; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Edward Dagul.

Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Paul Igai; Setiausaha Agung MIC, Asojan Muniyandy dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Guan Dee Koh Hoi juga hadir dalam mesyuarat tersebut.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pembentukan sebuah kerjasama politik yang kukuh bagi mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Related posts

Leave a Comment