KUALA LUMPUR 13 Dis, – Pas tidak gentar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang walaupun pentadbiran kerajaan yang disertai wakil rakyat parti itu bukan hasil undian rakyat secara langsung.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, apa yang penting adalah wakil-wakil rakyat yang diberi mandat itu dapat menjalankan amanah masing-masing.
“Walaupun kita mengambil kerajaan melalui wakil-wakil rakyat, dan bukan undian rakyat secara langsung, (namun) kita menentukan (Kabinet) melalui wakil-wakil rakyat yang diundi oleh rakyat.
“Apa yang penting wakil rakyat ini menjalankan tugas di kawasan masing-masing dan itu yang perlu kita gerakkan. Dengan sebab itu kita tidak gentar menghadapi PRU15,” katanya dalam sesi Dialog Pas bersama media, di sini..
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata beliau sentiasa memantau tugas yang dimainkan oleh pemimpin parti itu dalam Kabinet kerajaan.
Mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim memperoleh sokongan 113 ahli Dewan Rakyat dalam bentuk akuan bersumpah (SD), Hadi berkata, pihaknya perlu menunggu hakikat sebenar apakah yang sedang berlaku.
.”ini bukan kali pertama (dakwaan Anwar cukup majoriti), oleh sebab itu kita perlu tunggu berita sebenar.
“Sudah beberapa kali (ia berlaku) dan kita sedang tunggu (kebenaran itu). Jadi kita tidak perlu terkapai-kapai untuk buat sebarang keputusan sebelum hakikat sebenar,” katanya
Sabtu lalu, terdapat khabar angin mengatakan Anwar sekali lagi akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.
Lebih menguatkan dakwaan itu apabila ada satu laporan menyebut sokongan yang diperoleh Anwar turut mendapat sokongan SD daripada 10 MP UMNO.