Angkat sumpah MB esok

IPOH 9 Dis. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah pukul 11 pagi esok, 10 Disember 2020.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah petang ini telah memperkenan pelantikan itu setelah mempertimbang cadangan serta yakin Saarani memperoleh sokongan sebahagian besar ADUN.

Sebelum itu, lapan ADUN dilihat memasuki Istana Kinta hari ini bagi menghadap Sultan Nazrin.

Mereka adalah tiga ADUN Pas iaitu ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya.

Ia disusuli tiga ADUN Bersatu iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari.

Turut menghadap adalah ADUN Buntong dari Parti Gerakan, S Subramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Sementara itu m Razman berkata: “Hari ini kita telah mendapat satu kata sepakat oleh pucuk pimpinan kita. Kami di peringkat negeri telah menzahirkan apa yang diputuskan oleh ketiga-tiga presiden parti,”

Keputusan itu berdasarkan kesefahaman di peringkat pusat oleh presiden Bersatu, UMNO dan Pas.

Saarani, 59 adalah anak kelahiran Lenggong, Perak dilahirkan pada 13 Mac 1961.

Beliau yang berumah tangga dengan Aezer Zubir yang merupakan pesara guru dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Saarani yang memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).

Beliau yang menjadi ADUN Kota Tampan selama empat penggal itu pernah berkhidmat bersama tiga Menteri Besar Perak terdahulu iaitu Tajul Rosli Ghazali, Dr Zambry Abd Kadir dan Ahmad Faizal Azumu.

Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2018.

Related posts

Leave a Comment