Boleh rentas daerah, negeri

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Walaupun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran itu akan berkuat kuasa mulai Isnin ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan juga bersetuju semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.

Polis juga tidak lagi akan melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) mulai 7 Disember , tetapi memfokuskan kepada pematuhan SOP (prosedur operasi standard).

Bercakap pada sidang media perkembangan PKPP di sini hari ini,  kerajaan amat berharap agar rakyat menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang ditetapkan. 

Katanya, kerajaan akan mengkaji kebenaran aktiviti pelancongan, termasuk kemungkinan membuka lebih banyak sektor susulan keputusan membenarkan rentas daerah dan negeri itu.

Ketika ini beberapa kawasan pelancongan masih tidak dibuka dan perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Beberapa kawasan (pelancongan) masih kita tidak buka. Sektor yang dibenarkan akan diumumkan kerana di bawah PKPB ada aktiviti dibenar… pelancongan ini boleh jadi sosial atau ekonomi.

“Contoh, kalau melibatkan pengusaha bas, ia akan jadi aktiviti ekonomi dan kalau individu, boleh jadi aktiviti sosial. Kita sedang bincang dengan Kementerian Pelancongan (Seni dan Budaya),” katanya.

Aktiviti rekreasi luar ketika ini dibenarkan, namun ia perlu diteliti semula jika melibatkan pelancongan.

Sementara itu ketika memperincikan tangkapan ingkar SOP, Ismail Sabri berkata polis menahan 491 individu semalam. 

Daripada jumlah itu,  437 individu dikenakan kompaun manakala 54 direman.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 116 pendatang asing telah berjaya ditahan serta satu bot dan satu kenderaan darat dirampas dalam operasi yang diadakan di seluruh negara. 

“Bagi kuarantin wajib pula, mulai 24 Julai sehingga 4 Disember lalu seramai 81,513 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa,” katanya. 

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 11,324 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 78 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara. 

Menurutnya 509 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan dan 69,680 individu dibenarkan pulang ke rumah.

Related posts

Leave a Comment