Dua kluster baharu di Sabah

PUTRAJAYA 1 Dis. – Dua lagi kluster baharu dikesan di Sabah, melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran, menjadikan sejumlah 364 kluster dilaporkan sehingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster View Kolombong di daerah  Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini, hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, sejumlah 76 individu disaring, dengan 40 kes dikesan positif.

Kluster kedua ialah Kluster Talang-Talang melibatkan daerah Kota Kinabalu, dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 23 November lepas hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini,  67 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif Covid-19. 

Jumlah kluster yang ditamatkan pula ialah sebanyak 184, termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Highway, Kluster Inai dan Kluster Jalan Meru.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, 33 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes).

Related posts

Leave a Comment