Kes di Sabah bakal mendadak?

KOTA KINABALU 21 Nov. – Kes baharu Covid-19 di Kota Kinabalu dijangka naik mendadak apabila keputusan ujian saringan di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak di sini diperoleh dalam masa terdekat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah itu berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih membuat saringan di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) itu yang mempunyai penduduk padat sekitar 21,000 orang. 

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah hari ini merekodkan 346 kes positif baharu Covid-19 dengan jumlah kumulatif isebanyak 25,787 kes.

Tiga kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu kes di Daerah Keningau, Kudat dan Lahad Datu.

Pada hari ini, seramai 369 pesakit Covid-19 telah sembuh manakala 2,373 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 645 orang di hospital dan 1,728 orang di PKRC. Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 72 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Kota Kinabalu mencatat kes baharu tertinggi Covid-19 hari ini dengan 109 kes daripada keseluruhan 346 kes seluruh negeri Sabah

”Sebanyak 36.71 peratus atau 127 kes baharu dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat yang berpunca dari saringan dibuat ke atas kontak rapat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi berkata jumlah katil untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri ini masih mencukupi kerana hanya 36.09 peratus daripada keseluruhan 6,576 katil digunakan.

“Jumlah kapasiti katil di Hospital Covid-19 adalah sebanyak 1,007 katil, sementara di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko adalah sebanyak 5,569 katil,” katanya. 

 

 

 

Related posts

Leave a Comment