Mutasi Mengketil belum pasti

PUTRAJAYA 20 Nov. – Kementerian Kesihatan belum mengenal pasti jenis mutasi yang berlaku membabitkan Kluster Mengketil, di Kelantan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di situ dalam tempoh yang singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana, kluster itu masih baharu dikesan dan proses menghantar sampel ke makmal akan dilakukan.

Proses untuk menganalisis sampel itu pula mengambil masa dalam tempoh sehingga tiga minggu dan strain virus pula setiasa berubah atau bermutasi.

“Dalam waktu singkat iaitu lima hari, virus ini menular dengan cepat ke daerah lain, dan bahkan ke Terengganu,” katanya.

Kluster Mengketil bermula dengan kes indeks pada 13 November dan telah mencatat 45 jangkitan setakat ini, dengan tiga kes baru hari ini.

Dr Noor Hisham meminta agar semua pihak khususnya rakyat Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)

“Dalam tempoh dua minggu ini saya minta semua penduduk Kelantan untuk duduk di rumah bagi mengelak penularan jangkitan.

“Jika perlu keluar, perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam PKPB agar Kelantan boleh diletakkan dalam PKP (Pemulihan) seperti negeri lain,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah meminta rakyat

Kelantan bertenang dan mematuhi segala SOP ditetapkan.

Katanya rakyat perlu bekerjasama dengan semua pihak, bagi memastikan negeri ini bebas daripada wabak Covid-19.

“Saya kira apa yang diputuskan kerajaan ini adalah yang terbaik selepas kenaikan mendadak kes Covid-19 di negeri ini dan saya minta semua rakyat benar-benar patuh SOP yang dikeluarkan, demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment