MESYUARAT Dewan Rakyat disambung semula pada Isnin, 16 November. Apa pula yang akan berlaku sepanjang empat hari mendatang ini? Siapa dan berapa orang pula wakil rakyat yang akan ‘digantung’ atau diminta keluar Dewan?
Siapa pula yang akan berbahas dan siapa pula yang akan dikritik seperti dapat disaksikan minggu lepas? Masih ramai yang menunggu giliran mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021.
Manfaatkan masa perbahasan bagi kepentingan rakyat. Kritikan biar bersasar bukannya melencong ke sana ke sini yang hanya buang masa rakyat yang mengikuti dengan penuh minat. Kritikan biar ada jalan keluar dan penyelesaiannya.
Ingatlah perbahasan mereka dapat diikuti secara langsung. Baik buruk, cerdik atau bodoh kelakuan dan ucapan mereka dapat dinilai yang mungkin mempengaruhi rakyat sama ada memilih atau menolak parti yang diwakili wakil rakyat itu.
Justeru buatlah sedikit ‘kerja rumah’ sebelum berbahas. Bercakap menggunakan fakta bukan auta. Jangan hentam ikut sedap mulut sehingga timbul pelbagai persepsi tidak baik termasuk ada kepentingan politik atau udang di sebalik batu.
Contoh menarik yang dapat disaksikan minggu lepas adalah perbahasan oleh Teresa Kok (PH-Seputeh) dan Tiong King Sing (GPS-Bintulu).
Kok hairan dengan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang memperkenalkan Wilayah Bebas Berniaga. Wakil rakyat DAP itu tidak mengemukakan idea yang lebih bagus sebaliknya mempertikaikan dan menyindir menteri berkenaan Annuar Musa.
Amat memalukan wakil rakyat yang pernah bertaraf menteri itu bercakap tanpa melihat fakta sebenar. Masih pembangkang perlu membangkang.
Bagaimanapun lebih menarik perhatian adalah isu yang dibawa King Sing berhubung Ketua Pengarah (DG) Kesihatan tidak berani turun ke Sabah kerana ‘takut mati’.
Siapa sangka penyokong kerajaan tanpa segan silu menghentam sumbangan penjawat awam. Boleh kritik tetapi biarlah ada fakta, bersasar jangan tersasar.
Hari itu 11 November selepas mendengar ucapan King Sing ‘membelasah’ Dr Noor Hisham Abdullah, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah isu ini pasti ditanya ketika sidang media harian Ketua Pengarah Kesihatan itu.
Sebagai orang media, soalan itu wajar ditanya bagi mendapatkan pencerahan sebenar apa yang berlaku di sebalik dakwaan itu. Jangkaan itu tepat tetapi yang mengejutkan adalah itu soalan pertama yang ditanya.
Lebih menarik, wartawan muda itu membuat semakan terlebih dahulu dengan merujuk facebook Dr Noor Hisham. Semakan itu penting supaya wartawan tidak dilihat tidak tahu apa-apa mengenai soalannya. Maknanya ada fakta bukan auta.
Dengan tenang dan seperti biasa terlebih dahulu berterima kasih atas soalan wartawan, Dr. Noor Hisham menjelaskan “ Tidak timbul isu takut mati, ini kerana sebagai seorang Islam, kita terima kematian itu di mana-mana saja akan berlaku.
“Bukan hanya turun padang atau tidak. Apa yang lebih penting adalah kita pasangkan niat untuk kita laksanakan tugas kita.
“Niat kita ketika ini adalah putuskan rantaian Covid-19…itu tujuan utama kita. Kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti adalah kita laksanakan tanggungjawab untuk selamatkan negara kita daripada peningkatan kes dan kadar kematian,”.
Tidak menunjukkan emosi marah ketika menjawab, beliau hakikatnya telah meninjau keadaan di Sabah akhir Ogos lalu bersama pasukan Kementerian Kesihatan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Disebabkan buat ‘kerja rumah’ wartawan berkenaan awal-awal lagi menjawab tohmahan wakil rakyat. Semalam, Dr. Noor Hisham mendedahkan semula fakta itu melalui Facebooknya.
Begitulah jawapan penuh hikmah yang tidak memperkecilkan sesiapa atau menyalahan mana-mana pihak tanpa usul periksa. Bayangkan jika yang didakwa oleh King Sing itu adalah ahli politik. Jawapannya dan nadanya tentu berbeza.
Kadang-kadang penjawat awam ini terlalu setia dengan tugas dan tanggungjawab sehingga tekanan yang dihadapi disebabkan keputusan pihak atasan yang tidak mendengar nasihat dipendam tetapi terbongkar dan terburai selepas bersara.
Jelaslah setakat ini Dr. Noor Hisham menjalankan tugasnya dengan baik dengan kemampuan yang ada sambil disokong kakitangannya. Bukan mudah menghadapi krisis pandemik ini. .Berat mata memabdang berat lagi bahu memikulnya.
Apabila saya membaca mengenai Timbalan Ketua Pengarah Dr Chong Chee Keong masih dikuarantin selepas melawat Sabah, saya tertanya-tanya bagaimana agaknya kalau dua minggu sekali Dr Noor Hisham melawat Sabah?
Benar boleh bekerja dari rumah, boleh bagi sidang media di rumah atau seperti kata King Sing “bagi itu office boy dia pun boleh baca (kenyataan media)”. Tetapi keberkesanan bekerja sudah tentulah di pejabat.
Lainlah bagi wakil rakyat, keberkesanan mereka bekerja dapat dilihat apabila turun ke lapangan, kerap melawat kawasan, bukan hanya muncul semasa menjelang hari mengundi pada pilihan raya sahaja.
Mungkin waktu ini, sambil menyambut Deepavali, wakil rakyat kita sedang menyantuni rakyat di kawasan mereka yang tertekan akibat Covid-19. Tapi harus diingat janganlah ke sana ke sini jika dikuarantin, pakailah pelitup muka, jangan bersalam dan patuhilah pelbagai SOP.
Selamat bersidang !