KUALA LUMPUR 3 Nov. – Sebanyak 9,779 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 65 Hotel dan 19 premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 59,966 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa di mana
381 individu dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 49,806 individu dibenarkan pulang ke rumah.
“Semalam, seramai 385 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk KLIA & KLIA2 dari Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Qatar, UAE, Oman, Arab Saudi, Jepun, China, Korea Selatan & UK. Seramai 384 orang telah dikuarantin dan seorang dibawa ke hospital,” katanya.
Bercakap pada Sidang Media Perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini, beliau berkat, Task Force Operasi Pematuhan semalam telah melakukan 38,910 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP
“Sebanyak 2,581 pasar raya, 3,318 restoran, 962 kilang, 1,501 pasar awam/tani, 2,312 tempat ibadah serta 907 tempat riadah telah diperiksa dan PDRM telah menahan 381 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Daripada jumlah itu, 372 individu dikompaun dan sembilan direman,” katanya.
Mengenai kawalan sempadan negara, Op Benteng berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas empat kenderaan darat.