Sukar tidur fikirkan Covid-19

PUTRAJAYA : Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengakui  turut mengalami kelesuan serta tekanan mental dan fizikal yang amat tinggi dalam menghadapi perang melawan Covid-19.

Katanya, perang menentang musuh halimunan yang berlanjutan sejak awal tahun ini bukan sahaja memberikan kesan dan tekanan kepada petugas barisan hadapan, malah kepada warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini adalah kerana kami berperang berterusan tanpa henti untuk 10 bulan tanpa cuti. Setiap hari, kami ada mesyuarat dan ada tindakan (susulan).

“Setiap lapisan warga kerja KKM membuat kerja dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi. Termasuk KP (Ketua Pengarah) Kesihatan juga (berdepan) tekanan yang amat tinggi,” katanya.

Dr Noor Hisham mengakui bahawa kelesuan itu turut menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk tidur.

“Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur kerana kami perlu fikirkan pelbagai aktiviti dan bagaimana kami boleh selesaikan masalah ini.

Sementara itu, beliau berharap, KKM mendapat peruntukan yang lebih besar dalam Belanjawan 2021 bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada rakyat dalam merawat penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya merancang untuk menubuhkan hospital penyakit berjangkit dengan peruntukan yang akan diberikan kepada kementerian itu.

KKM sememangnya mengharapkan lebih banyak lagi peruntukan kepada kementerian untuk kami memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

KKM juga mempunyai perancangan untuk menambah latihan untuk pakar kesihatan di lapangan dan perubatan di hospital.

Related posts

Leave a Comment