PKPB dilanjut, Nilai turut serta

KUALA LUMPUR : Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual tamat esok, dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November ini selepas meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di Lembah Klang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai 28 Oktober hingga 10 November juga, PKPB  akan dikenakan di zon Nilai, Negeri Sembilan berikutan peningkatan kes positif Covid-19 warga asing di zon berkenaan.

Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dikenakan di  Putra Point Nilai yang membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di kawasan itu yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

Mengenai lanjutan PKPB di Lembah Klang, Ismail Sabri berkata, setakat ini, penilaian risiko dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi untuk berlakunya penularan Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 hingga 27 Oktober.

Ismail Sabri berkata, PKPD juga akan dikenakan di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan, Sabah bermula 28 Oktober hingga 10 November, merangkumi 5,100 unit rumah yang melibatkan seramai 22,500 penduduk.

Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober .

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!