Lanjut PKPB Selangor, KL?

ESOK, lusa, itu yang berbaki. Selasa, 27 Oktober hari terakhir. Tetapi kes Covid-19 terus meningkat. Adakah ini bermakna Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terus dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk satu tempoh lebih panjang?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini sedang memantau sama ada PKPB perlu diteruskan atau tidak. Ia bergantung kepada peningkatan kes positif Covid-19 harian yang dicatatkan.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini kes meningkat konsisten setiap hari.

“Kalau tiba-tiba tiada peningkatan, mungkin tidak perlu, sekarang kita sedang memantau setiap hari sama ada perlu atau tidak. Data itu kita sebarkan setiap hari dan masing-masing tahu sama ada perlu sambung atau tidak. Nyata hari ini kes semakin meningkat,” katanya dalam sidang media semalam, Sabtu.

Semalam Selangor merekodkan 76 kes baharu, Kuala Lumpur 19 dan tiada kes di Putrajaya.

Di Selangor, setakat semalam, hanya Sabak Bernam berada dalam zon hijau manakala Hulu Selangor dan Kuala Selangor di zon kuning sementara daerah lain di zon merah.

Putrajaya pula berada di zon kuning.

Bagi Kuala Lumpur, hanya Wangsa Maju dan Batu berada dalam zon hijau, Titiwangsa dalam zon merah manakala  lain-lain kawasan dalam zon kuning.

PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dikuatkuasakan sejak 14 Oktober lalu dan bakal berakhir pada 27 Oktober ini.

Related posts

Leave a Comment