688 ingkar arahan

PUTRAJAYA : Sebanyak 678 individu dikompaun dan 10 direman atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (213), tidak memakai pelitup muka (211), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (136), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (37), dan lain-lain (91).

Dalam satu kenyataan mengenai PKP pada hari ini, Ahad 25 Oktober, Operasi Benteng pula berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat.

Beliau juga memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 24 Oktober 2020, seramai 54,312 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Mereka ditempatkan di 65 Hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah itu, 8,683 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 45,248 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang dan mereka telah pulang dari 35 negara,” katanya lagi.

Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 10,751 operasi sanitasi merangkumi 136 zon. Sebanyak 13,359 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,740 pusat perniagaan, 1,617 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,650 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,998 bangunan kerajaan.

Related posts

Leave a Comment