732 kes, 6 kematian

PUTRAJAYA: Jumlah kes harian positif Covid-19 hari ini, 21 Oktober di bawah paras 800, menunjukkan sedikit penurunan iaitu 732 kes berbanding 862 dan 865 kes sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan angka terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 22,957 kes dengan kes aktif sebanyak 7,827 kes.

Sebanyak enam kematian dilaporkan menjadikan 199 meninggal dunia.

Daripada jumlah kes hari ini, 724 merupakan penularan tempatan dan terdapat lapan kes import yang melibatkan enam warganegara dan dua rakyat asing.

Sabah masih menjadi negeri dengan kes jangkitan tertinggi iaitu 535 kes atau 73.1 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, tempoh 24 jam lepas hingga tengah hari juga merekodkan  580 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 sebanyak 14,931 kes atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan yang dilaporkan.

Pada masa ini terdapat 102 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 31 memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai enam kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata lima direkodkan di Sabah, melibatkan empat rakyat tempatan (tiga lelaki dan seorang wanita) serta seorang lelaki warga asing, yang  berusia antara 27 dan 55 tahun.

Satu kematian lagi melibatkan lelaki warganegara direkodkan di Labuan, berusia 46 tahun yang dirawat di Hospital Labuan dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

Hingga kini, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di negara ini ialah 199 kes atau 0.87 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Related posts

Leave a Comment