RM1.7 bilion perangi Covid-19

KERAJAAN memperuntukkan lebih RM1.7 bilion untuk memerangi penularan Covid-19 yang disalurkan melalui 14 kementerian dan kerajaan negeri sejak Februari 2020, dan terus komited bagi memastikan barisan hadapan dan sistem kesihatan mempunyai dana yang mencukupi untuk melindungi rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan tetap komited terhadap usaha menentang pandemik Covid-19 dan bersedia untuk menambah peruntukan, jika ada keperluan.

Daripada jumlah tersebut yang diperuntukkan setakat ini, sebanyak RM1 bilion disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), RM250 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan RM247 juta kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan kewangan sekiranya perlu untuk berbuat demikian terutamanya bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini, 19 Oktober.

Dalam menghadapi gelombang terbaru Covid-19 di Sabah, kerajaan, melalui KKM, menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM44 juta untuk mengukuhkan barisan hadapan kesihatan negeri.

“Ini meliputi penambahan peralatan perlindungan diri (PPE), bekalan perubatan, dan kelengkapan perubatan seperti katil pesakit serta alat bantuan pernafasan,” katanya.

Melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada NADMA untuk menyokong usaha menangani penularan pandemik tersebut.

Katanya kedua-dua peruntukan tambahan ini selaras dengan komitmen untuk memastikan kesiapsiagaan dalam menghadapi peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Mengenai Tabung Covid-19 KKM yang diaktifkan semula pada 16 Oktober lepas

secara keseluruhannya, sejak Februari 2020, kerajaan telah menerima RM44.7 juta dalam bentuk derma daripada pihak individu, perniagaan dan pelbagai organisasi.

“Dana ini hanya untuk kegunaan memerangi pandemik Covid-19, dan setakat ini, sebanyak RM33.1 juta telah digunakan untuk pembelian PPE dan kelengkapan perubatan yang dibekalkan kepada institusi kesihatan di seluruh negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment