Bantu cari dalang pencemaran

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak akan berkompromi terhadap mereka yang bertanggungjawab mencemarkan sumber air negara, kata Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru kerjasama orang awam amat dialu-alukan dan KASA menyediakan anugerah serta sumbangan kepada orang awam yang berjaya mengesan sehingga tertangkapnya dalang yang bertanggungjawab mencemarkan sumber air.

“Kita tidak mampu mengawal semua kilang industri dan semua tempat tertentu, oleh itu kita galakkan orang awam bantu.

“Sekiranya berlaku pencemaran, tolong segera lapor supaya kita boleh ambil tindakan,” kata Tuan Ibrahim dalam sidang media susulan insiden pencemaran air Sungai Selangor yang mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas pada pagi Isnin.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dikerahkan untuk mengenal pasti punca pencemaran yang menyebabkan lebih sejuta akaun pengguna di beberapa kawasan di Lembah Klang terjejas.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pagi ini sudah pergi ke tempat tersebut untuk menyiasat punca pencemaran bau.

“Untuk makluman, peringkat awal kita kesan 3 TON (Nombor Bau Nilai Ambang) tapi ia terus menurun kepada 1 TON. Kita harap ia akan berakhir dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan sebelum ini mendapati modus operandi suspek adalah melupuskan bahan cemar ke sungai pada hujung minggu serta di antara waktu tengah malam sehingga awal pagi.

“Perkara ini berlaku pada waktu tengah malam, 2 hingga 3 pagi atau hujung minggu.Mungkin waktu itu orang ramai tidak bekerja, ini diambil peluang mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan media pada Isnin memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan lebih satu juta akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ia berikutan LRA Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi.

Related posts

Leave a Comment