UMNO tetap tolak Anwar, DAP

TOLAK Anwar, tolak DAP ! Itu pendirian Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang masih belum berubah. Kenyataan yang melegakan, selepas tular surat yang mendakwa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri baharu.

Justeru siapakah anggota Parlimen UMNO yang bersedia melanggar pendirian MKT itu? Berapa ramai sanggup berbuat demikian. Kemungkinan itu ada kerana tindakan lebih besar telah pun dilakukan oleh sekumpulan anggota Parlimen yang bertanding atas tiket UMNO tetapi melompat meninggalkan parti itu.

Harus diingat Ahmad Zahid sebelum jni dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN)  tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Saya dimaklumkan ramai ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen berkenaan,” ujarnya lagi.

Hari ini timbul pelbagai persoalan apabila tular surat surat bertarikh 11 Oktober, 2020, yang didakwa dihantar Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai sokongan beliau dan ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan ahli Parlimen Pekan, Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam ciapannya berkata, parti masih berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat MKT sebelum ini, iaitu mengukuhkan Barisan Nasional (BN) memantapkan Muafakat Nasional (MN) dan tiada DAP dalam kerjasama politik.

“Saya selaku Setiausaha Agung UMNO juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini iaitu – Kukuhkan #BN, Mantapkan #MN, dan Tiada DAP.

“Tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya lagi.

Setiausaha Kerja UMNO, Mohd Sumali Reduan, berkata surat berkenaan mungkin disebarkan segelintir pihak berkepentingan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat yang tular di media sosial mengenai sokongan kepada salah seorang pemimpin parti pembangkang sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Ahli Parlimen UMNO menyatakan pendirian susulan surat itu.

“Jika surat tersebut benar, saya mahu menyatakan secara tegas bahawa Presiden parti saya tidak bercakap bagi pihak saya. Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Saya harap ahli Parlimen UMNO yang lain akan menjelaskan kedudukan mereka. Mari kita lihat siapa yang mempunyai nombor (sokongan majoriti),” katanya dalam entri tersebut pada Sabtu.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai Perdana Menteri.

“Tetapi jika surat itu benar, saya tidak mendapat maklumat, dan ini bukan pendirian saya (menyokong Anwar) sebagai Ahli Parlimen UMNO.

“Saya ingin menyatakan secara tegas bahawa saya tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam entri di laman Twitter, pada Sabtu.

Dalam kemas kini sama, bekas Naib Presiden UMNO itu mengulangi pendirian bahawa beliau secara konsisten menolak Anwar dan DAP.

(Foto PN BBC PORTAL)

Related posts

Leave a Comment