627 tempatan, 2 import

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini meningkat kepada 629 kes, hari ke 16 berturut-turut mencatatkan tiga angka dengan merekodkan enam kematian dan 245 kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan baharu itu, menjadikan keseluruhan kes kini 18,758 kes, manakala jumlah kematian akibat wabak itu 176 individu dan 12,259 kes pulih sepenuhnya.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 6,323 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata sebanyak 627 kes penularan di dalam negara membabitkan 577 warganegara dan 50 rakyat asing, manakala dua kes import masing-masing melibatkan warganegara  yang pulang dari New Zealand dan Singapura.

Bagi penularan tempatan,16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah sebanyak 437 kes.

Mengenai kematian baharu, beliau berkata lima kes direkodkan di Sabah yang melibatkan rakyat Malaysia dan seorang warga asing di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata di Sabah, kematian ke-171 merupakan seorang lelaki berusia 66 tahun di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dengan latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan strok; kematian ke-172 juga lelaki berumur 72 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dengan penyakit jantung dan kematian ke-173 lelaki berumur 39 tahun di Hospital Semporna yang menghidap penyakit strok.

Kematian ke-174 dan ke-175 masing-masing di Hospital Queen Elizabeth, melibatkan wanita berumur 74 tahun dengan penyakit darah tinggi, kencing manis serta buah pinggang dan lelaki berumur 67 tahun dengan penyakit darah tinggi, jantung dan strok.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur iaitu kematian ke-176 melibatkan lelaki warga asing berusia 52 (tahun) dengan latar belakang penyakit kencing manis, jantung, psoriasis (penyakit kulit) dan tulang belakang.

Seramai 99 individu positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 31 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment