Tangguh jemaah masjid, surau

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan 425 masjid dan 2,025 surau di negeri itu menangguhkan solat fardhu lima waktu berjemaah sehingga suatu pemakluman baharu dibuat mengenainya.

Solat berjemaah hanya akan melibatkan tiga orang dalam kalangan pegawai atau ahli jawatankuasa yang dijadualkan bagi mengumandangkan azan dan mengimamkan solat.

JAIS melalui satu pekeliling bertarikh 13 Oktober 2020 memaklumkan langkah itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

PKPB itu melibatkan Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

Di samping solat fardhu lima waktu, solat Jumaat melibatkan 425 masjid dan 278 surau kebenaran Jumaat juga ditangguh dan digantikan dengan solat Zuhur di kediaman masing-masing.

“Semua aktiviti pengimarahan di semua masjid dan surau seperti kuliah Maghrib, Subuh dan Dhuha serta lain-lain aktiviti pengimarahan turut ditangguhkan. Walau bagaimanapun masjid dan surau boleh meneruskan inisiatif program tazkirah online melalui FB dari kediaman penceramah atau pentakzirah,” kata kenyataan itu.

Mengenai pengurusan jenazah, ia boleh diuruskan di masjid dan surau tertakluk kepada Panduan Pengurusan Jenazah Semasa PKPP Di Masjid dan Surau Negeri Selangor Bagi Menangani Penularan Covid-19 Semasa yang dikeluarkan JAIS pada 9 Oktober lalu.

JAIS turut mengingatkan semua pentadbir masjid dan surau supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan yang bersesuaian..

Related posts

Leave a Comment