PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam tadi (12 Oktober) sehingga 26 Oktober ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku di negeri itu.
Dengan pelaksanaan PKPB ini, semua penduduk dikehendaki mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari rumah masing-masing.
Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku di negeri itu.
Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
Dalam tempoh itu, hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian termasuk makanan.
Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi ditutup.
Malah masjid, surau serta rumah ibadat bukan Islam lain juga ditutup kepada orang ramai, selain semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan.
Kegiatan sektor ekonomi, industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagi pasar borong, pasar harian hanya boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, kedai barang keperluan, kedai runcit, restoran, kedai-kedai makan, warung-warung, kedai runcit dan serbaneka (6 pagi – 6 petang) dan terhad untuk pembelian secara pandu lalu, penghantaran serta take away.
Stesen minyak dibenarkan beroperasi pada waktu terhad dari 6 pagi hingga 6 petang.
Kilinik dan hospital kerajaan dibenarkan beroperasi 24 jam, bagaimanapun operasi farmasi dan kedai ubat-ubatan terhad dari 6 pagi hingga 6 petang.
Mengenai perkhidmatan teksi atau e-hailing dan penghantaran makanan, Ismail Sabri berkata perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam, manakala bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
Beliau berkata sektor perikanan, perladangan, pertanian dibenarkan beroperasi dalam tempoh itu namun sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.
Pada masa yang sama juga kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Tawau, juga berkuat kuasa 12.01 tengah malam 13 Oktober sehingga 26 Oktober ini.
PKPD di kawasan itu melibatkan 800 rumah dengan 17,549 penduduk yang tidak dibenarkan keluar rumah dalam tempoh itu dan KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.