Menjelang Selasa, 13 Oktober

PELBAGAI berita muncul menjelang  Selasa, 13 Oktober, hari Presiden PKR Anwar Ibrahim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mempersembahkan keterangan lengkap berhubung majoriti Ahli Parlimen yang menyokong beliau membentuk kerajaan.

Di samping penafian sokongan, satu laporan yang menarik perhatian juga adalah berkaitan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung penyebaran senarai 121 ahli Parlimen didakwa menyokong ketua pembangkang itu bagi membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis pada mulanya memanggil Anwar untuk memberi keterangan pada 11 pagi ini, 12 Oktober, tetapi setiausahanya memaklumkan presiden PKR itu hanya dapat hadir pukul 9 pagi esok.

“Justeru, polis menangguhkan janji temu itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, selepas menerima laporan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris pada 8 Oktober lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyanggah laporan sebuah portal pada Ahad yang mendakwa berlaku pergolakan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen UMNO berhubung sokongan terhadap Anwar.

Katanya, tidak ada mana-mana Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kami (Ahli-ahli Parlimen UMNO) buat keputusan secara bersama dan tidak akan bertindak atas kapasiti peribadi. Saya perlu jelaskan perkara ini supaya tidak timbul kekeliruan tentang pendirian Ahli Parlimen UMNO dalam isu ini,” katanya seperti dilapor Astro Awani

Laporan portal itu berdasarkan kenyataan tiga Ahli Parlimen UMNO yang mendakwa, parti itu berpecah kepada tiga kumpulan iaitu mereka yang menyokong Anwar, menentang dan atas pagar yang belum membuat keputusan.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan berkata, sokongan padu beberapa parti politik kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melambangkan kepercayaan mereka kepada kerajaan PN dalam menangani pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin berkata, sokongan itu sekali gus menafikan cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan Persekutuan hari ini.

PN turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pimpinan tertinggi dan Ahli Parlimen dari parti komponen PN serta rakan kongsi politik lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menzahirkan sokongan padu terhadap pimpinan Perdana Menteri.

Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan PN memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula meminta anggota parti itu tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau berkumpul di mana-mana tempat esok, terutama di jalan utama menuju Istana Negara.

Beliau turut memohon semua rakyat Malaysia bertenang ketika majlis perjumpaan itu berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas pertemuan itu.

Related posts

Leave a Comment